Wednesday, August 10

Cerai Hidup, Cerai Mati


Siang tadi aku teman mak ke kedai baju. Tujuannya untuk tukar baju yang mak beli sebelum ni, sebab agak sendat.

Kedai tu letaknya di tepi jalan di pekan Kajang. Sampai saja di kedai baju tu, aku dan mak terus membelek-belek baju di situ, mencari yang berkenan di hati.

Sebenarnya kedai ni memang selalu kami kunjungi. Memang dah kenal sangat dengan pekerja kedai tu, seorang kelahiran Indonesia.

Masa buat bayaran di kaunter (aku ada beli sehelai baju), mak berbual-bual dengan pekerja tu. Entah macam mana dia buka cerita tentang kematian suami dia pada 14 Jun lepas. Buat pengetahuan, akak ni berkahwin dengan orang Malaysia. 

Air mata dia menitik ketika bercerita. Aku tumpang mendengar dengan kusyuk sekali. Mata aku tak berkedip melihat wanita yang baru kehilangan suami tu. Dalam hati timbul rasa simpati, tapi aku tak mampu buat apa-apa.

Dia kata apa yang dia kesalkan kerana tidak sempat membalas jasa suaminya yang banyak membantu menyekolahkan anaknya, hasil dari perkahwinan pertama. Suaminya melayan anaknya dengan baik sekali walaupun berstatus anak tiri. Sekali lagi air matanya menitik. Dia mengesat dengan hujung tudung yang dipakainya.

Dalam perjalanan balik, kata-kata wanita tadi tentang sesuatu terngiang-ngiang di telinga aku. 
"Cerai hidup dan cerai mati tak sama, kak," katanya kepada mak aku. Langsung air matanya menitik lebih laju. Aku turut sebak melihatnya.

Aku jua baru kehilangan orang yang aku sayang tapi bezanya bukan berpisah kerana kematian. Aku lantas sedar. Betapa peritnya aku hadapi putus cinta, lagi perit orang yang kehilangan orang tersayang buat selama-lamanya. Ya, cerai mati lebih perit rasanya kerana walau macam mana usaha sekalipun, yang pergi itu tak mungkin akan kembali lagi.

Dari itu aku dapat sumber kekuatan untuk terus melangkah dengan lebih tabah. Aku segera menginsafi betapa aku lebih bertuah berbanding insan lain.

“Tidak seorang muslim pun yang ditimpa keletihan, penyakit, susah hati, sedih, disakiti orang, derita, sehingga jika sebatang duri menikamnya, kecuali Allah memadamkan dengan itu semua dosa-dosanya”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)





#AL-FATIHAH buat arwah..


No comments:

Post a Comment

Awas! Dilarang menggunakan kata-kata kesat.